H1N1 a.k.a " Selsema Babi ". Semua orang tahu dan dunia gempar kerananya. Namun setakat manakah kemampuan kita sebagai seorang pelajar untuk membantu mengurangkan dan mengatasi penyakit ini? Penularan wabak Influenza A kian meningkat dari hari ke hari. Sebagai langkah pencegahan, langkah-langkah awal perlu diambil bagi menangani wabak ini dari terus berleluasa. Setiap individu perlu mengetahui etika ketika batuk. Penutupan mulut ketika batuk atau bersin adalah penting kerana penyakit ini merebak melalui batuk dan bersin. Penyakit ini boleh merebak dengan mudah di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
Melalui cara memakai penutup mulut dan hidung, elak pergi ke tempat sesak, palingkan muka daripada orang lain dan makanan, elak kongsi sapu tangan atau tuala dengan orang lain dapat mengelakkan penyebaran kuman-kuman yang membuat anda dan orang lain turut dijangkiti. Selain itu, kesihatan diri dari aspek membasuh tangan adalah amat ditekankan dalam menangani wabak ini dari terus menular.
Gejala-gejala wabak ini ialah seperti mengalami kesukaran bernafas yang laju daripada biasa atau tanda-tanda kebiruan di bibir, batuk berdarah atau terdapat campuran darah dalam kahak. Kemungkinan juga berlaku kelakuan yang ganjil, kecelaruan, kurang bertindak balas dan sawan serta berasa pening ketika berdiri atau kurang penghasilan air kencing merupakan tanda-tanda positif kepada wabak ini. Jika anda mengalami sakit dada yang berterusan, cirit-birit atau muntah berterusan, demam berlanjutan melebihi tiga hari adalah dinasihatkan ke hospital berhampiran dengan segera.